Aku Sebutir Pasir

Assalammualaikum dan Selamat Datang,







Kepada Pembaca / Pengunjung Blog Rieza Shazmira,









Dengan Lafaz Bismillahhirrohmannirahim.......







Mutiara Kata Untuk Hari Ini ,







Akal Manusia Itu Tidak Akan Luput Dari Melakukan Sebarang Kesilapan, Sekalipun Telah Mencurahkan Sepenuh Perhatian dan Kekuatan Kerana Kesempurnaan Itu Hanyalah Milik Allah Yang Mutlak .......







Jadilah Manusia Yang Bersyukur, Bertenang Dalam Apa Juga Keadaan dan Jadilah Dirimu Yang Terbaik Daripada Yang Terbaik, Semoga Hari Hari Yang Bakal Berlalu Mempunyai Makna Yang Manis. Permulaan Yang Baik dan Pengakhiran Yang Sangat Bererti .......



" Semasa Hidup Hendaklah Dihargai dan Setelah Tiada Janganlah Ditangisi " ....







Semoga Saya dan Anda Semua .......

Sentiasa Ceria ....... Hooyee ......



Dicatatkan Oleh Rieza Shazmira 11/6/2012 jam 11.55 malam

Saturday, 14 April 2012

MENUMPANG KASIH

Assalammualaikum,

       Pertama sekali maafkan aku, andainya kehadiran coretan ini mengganggu situasimu kala ini. Hatiku begitu meronta ronta untuk meluahkan isi hatiku ( perasaan cinta ) terhadapmu. Di kesempatan ini, inginku memuntahkan segalanya. Agar engkau mengetahuinya melalui ruangan kegemaranku ( my blog ).

       Ingin sekali aku bertanya, kemanakah engkau menghilangkan diri selama ini? Mengapakah engkau cuba menjauhkan dirimu dariku? Apakah salah dan dosaku sehingga engkau menghukum aku sebegini? Adakah berdosa insan ini menumpang kasih padamu? Mengapakah engkau harus pergi meninggalkan aku setelah ikatan perhubungan ini sekian lama terjalin? Setelah engkau melontarkan janji janji manis, memberiku harapan dan setelah engkau mencurahkan kasih sayang terhadapku. Adakah kini engkau sudah mulai rasa bosan terhadapku atau engkau tidak lagi mencintaiku. Adakah ianya semakin pudar ditelan waktu? Atau sememangnya engkau ada insan lain sebagai pengganti diriku.

       Mana janji janjimu yang dulu? Sebelum aku engkau miliki. Mengapa engkau sanggup membiarkan aku kelemasan seorang diri merindui dirimu, sifat sifat yang ada padamu keramahanmu, wajah manismu, senyumanmu dan segala yang ada padamu. Bagiku engkaulah lelaki yang cukup istimewa. Engkaulah insan pertama yang berjaya mencuri hatiku. Engkau jugalah yang mengajar aku apa itu cinta, apa ertinya rindu dan mengajarku tentang kasih sayang dan engkau jugalah yang aku cintai, yang amat aku sayangi dan merindui selalu.

       Apa yang aku ragui selama ini, kini terjawab sudah. Haruskah kita berpisah? Namun apa yang aku kesalkan, perpisahan ini bukan kerana hadirnya orang ketiga tetapi atas desakan orang tuamu yang mahu memutuskan perhubungan kita berdua kerana ibumu sudah mempunyai calonnya sendiri. Baginya aku tidak setaraf denganmu. Pilihannya adalah pilihan yang terbaik. Apakah status pangkat dan harta kekayaan adalah segala galanya di dunia ini? Hina sangatkah insan kerdil ini pada pandangan ibumu? Aku sedar siapa aku. Insan yang serba kekurangan dan tiada apa apa. Lebih menyedihkan hatiku engkau cepat berputus asa, tidak kuat untuk menentang.

       Mengapa engkau tidak sandarkan kenangan cinta kita. Aku selalu terbayangkan kenangan kita. Ketika berada di sampingmu, aku rasakan bahagia dan merasakan diri ini begitu di sayangi dan dihormati. Dirimu selalu hadir dalam lenaku. Disaat ini, aku amat memahami gelodak yang menghantui dirimu. Tetapi diriku tidak dapat membantu dirimu, bahkan tidak dapat berbuat apa apa. Kau begitu berat untuk melepaskan diriku pergi. Namun, kerana desakan orang tuamu dan sudah suratan takdir, kita terpaksa akur dengan kehendak orang tua. walaupun jiwamu menentang sekerasnya.

       Aku masih lagi teringat, kau sanggup menjengguk tempat kerjaku tetapi engkau tidak sanggup menemuiku. Ketika itu aku ingin sahaja berlari mendekatimu, tetapi kakiku begitu berat untuk berbuat begitu. Sebaliknya aku hanya mampu melihatmu dari jauh. Semakin aku ingin melupakanmu, semakin seksa jiwaku. Mengapalah dugaan seberat ini menimpaku? Jauh di sudut hati, aku dapat merasai engkau begitu tertekan dan berharap agar diriku tidak meninggalkan dirimu kerana engkau lebih memerlukan aku. Bagiku pula, sukar untuk mencari pengantimu. Engkau dengarilah suara kecil hatiku ini, aku amat amat menyayangimu. Engkaulah cinta pertamaku. Cinta yang ku hulurkan adalah cinta sejati dan kasih yang kucurahkan padamu ialah kasih suci.

       Aku harus membuat keputusan. Biarpun kesudahan keputusan ini akan menyakitkan hatimu dan menghancurkan hatiku sendiri. Aku terpaksa mengundur diri. Aku merelakan perpisahan ini walaupun begitu berat untuk aku melafazkannya dan melepaskan dirimu pergi dari sisiku wahai kekasihku. Aku tidak sanggup lagi melihat penderitaan ini. Engkau turutilah kemahuan ibumu. Meskipun kita tidak lagi bersama, ku harapkan kenangan kita sentiasa disisimu dan janganlah sesekali engkau menghapuskannya. Inilah pengorbananku untukmu. Akanku simpan memori cinta kita yang takkan padam untuk selamanya. Aku disini sentiasa mendoakan kesejahteraanmu. Andai ini dugaan buatku, aku pasrah. Kasih yang kusemai tiada berpenghujung.

       Cinta kita yang lalu diibaratkan seperti pementasan drama. Apabila drama mula ditayangkan masing masing hadir dengan satu tujuan. Tirai pentas pun dibukakan. Para pelakon sudah mengetahui watak yang diamanahkan dan mengambil tempat masing masing. Segala watak dan aksi yang dipersembahkan tampak sempurna dan menarik.  Penonton memberikan tepukan gemuruh sebagai penghargaan dan persembahan tadi berjaya. Begitu jugalah dengan cerita cinta kita. Pada awal perkenalan, masing masing berasa malu dan perasaan ingin mengenali hati budi masing masing. Lantas persahabatan yang terjalin bertukar menjadi alam percintaan. Segalanya berjalan lancar. Hari hari yang dilalui begitu indah. Masa yang berputar terasa terlalu cepat berlalu. Apa yang dilakukan hanyalah yang terbaik untuk pasangannya. Segala yang dipamerkan begitu sempurna. Rakan rakan dan orang sekeliling turut merestui dan mendoakan kebahagian kita berdua. Ada juga yang cemburu melihat kemesraan kita.  

       Apabila berakhirnya sebuah drama, watak watak yang dilihat tadi tamat. Para pelakon berlari ke belakang pentas dan masing masing menuju arah yang berlainan antara satu sama lain, lampu lampu leon pun dipadamkan. Tirai pun dilabuhkan. Keadaan yang tadinya ceria dan bercahaya serta riuh rendah bertukar menjadi sunyi dan gelap gelita. Begitulah keadaannya yang terjadi pada diriku dan dirimu. Kemesraan yang terjalin dahulu, kini direntap. Kebahagiaan yang dicipta hanyalah sementara. Kini, kita berdua masing masing memilih jalan sendiri. Jiwaku yang dulu berpenghuni, kini kosong keseorangan. Aku merasakan kesunyian tanpa hadirmu dan dunia ini ku rasakan kegelapan.

       Yang tinggal hanyalah memori sekuntum rindu. Ku ucapkan selamat tinggal padamu sayangku. Walaupun engkau jauh dimataku, tetapi amat dekat dihatiku. Akanku tempoh hidup ini dengan penuh tabah. Segala dugaan yang datang, adalah asam garam kehidupan. Aku percaya suatu hari nanti ada sinar gemerlapan menyinari hidupku.





Nota Kaki :

Cerita ini adalah rekaan semata mata. Tidak ada kena mengena dengan sesiapa. Sekadar cerita dongengku. Hehe....


Jangan copy dan paste yer.
Hakcipta terpelihara...... Rieza Shazmira
APRIL 2012


14.4.2012 ( Sabtu ) jam 6.30 petang.

2 comments: